REVIEW | MAN OF STEEL

Pada tahun 1988, buat pertama kalinya penulis diperkenalkan oleh alam sinematik skrin besar di pawagam yang terletaknya sangat berdekatan dengan kediaman keluarga. Masih segar diingatan, pada waktu itu pihak sekolah sedang menyambut Hari Kanak-kanak dan menawarkan tayangan filem istimewa untuk semua pelajar-pelajar sekolah penulis secara percuma. Dan kebetulan juga, penulis menganggap kesempatan ini merupakan peluang terbaik untuk menjejakkan kaki ke panggung wayang buat julung-julung kalinya.

"Superman IV: The Quest for Peace"

Itulah judul filem panggung wayang pertama penulis yang semestinya menjadi satu detik bersejarah yang tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila. Bayangkan pada malam sehari sebelum tayangan, perasaan penulis tidak keruan dan berdebar-debar. Masakan tidak. Selain bakal menempuh pengalaman pertama menonton filem di panggung wayang, Superman juga adalah komik pertama dan superhero pertama yang pernah penulis baca dan minati sejak mula tahu membaca. Malahan setiap kali ibu bapa penulis membawa bersiar-siar ke Kuala Lumpur bersama adik-beradik lain pada hujung minggu, kedai buku pasti menjadi salah satu daripada lokasi utama persinggahan kami. Komik mendahului sasaran tangkapan selain buku. Dari situlah penulis belajar menjadi seorang kolektor komik secara tidak rasmi.

Malam itu adalah malam yang panjang buat penulis. Terasa seperti tidak berkesudahan. Sekejap-sekejap menjenguk jam. Sekejap-sekejap menjenguk jaam. Masih lagi belum pagi. Sekali toleh, masih jam 2 pagi. Sekali bangun, masih jam 2.30 pagi. Bangkit lagi, baru pukul 2.45 pagi. Sehinggalah siang menjengah tiba, penulis sudah tidak sabar-sabar lagi pergi dan tamatkan waktu persekolah selekas yang mungkin. Ini kerana waktu tayangan filem itu adalah pada sebelah malamnya dan penulis terpaksa mengharungi waktu persekolahan dahulu.

Detik yang ditunggu-tunggu pun tiba. Sesampainya penulis bersama ayah dan adik penulis ke Pawagam P.Ramlee SS15 (satu-satunya pawagam moden yang ada di kawasan perumahan Subang Jaya pada dekad 80-90an sebelum kemunculan Cineplex dan pawagam-pawagam besar lain seperti TGV dan GSC). Ia merupakan satu pengalaman yang menakjubkan lagi luarbiasa. Berbekalkan air kotak dan keropok, perjalanan menuju ke tempat duduk pawagam begitu mendebarkan. Debarnya tidak terhenti apabila penulis sudah siap-siap duduk. Ianya berterusan apabila lampu mula digelapkan dan tabir merah mula disingkap serta terbuka. Skrin wayang mula menyala dan iklan-iklan yang berjalan pada waktu itu tidak sama seperti apa yang dilihat sekarang. Hampir semuanya manual, statik dan bersifat monotonus.

Selang beberapa minit selepas itu, logo klasik Warner Brothers terpapar. Tiba-tiba senyap sunyi seluruh dewan pawagam. Tiada bunyi, tiada suara. Kemudian, muncul pula drumbeat bunyi runut alunan John Williams yang sangat sinonim dengan filem-filem Christopher Reeve sebelum ini. Penulis seperti berada di syurga. Syurga dunia yang begitu indah dan berseri-seri. 90 minit yang berikutnya seperti berada di awang-awangan sepertimana terbangnya Superman dengan gah membelah awan dan langit.

Melangkah keluar dari panggung wayang, penulis merasakan perubahan ketara dan seperti berubah kulit. Jasad baru telah muncul dalam diri penulis. Jasad baru seorang adiwira bernama Superman. Dua minggu berikutnya hanya cerita Superman, Superman dan Superman sahaja yang menjadi topik perbualan dan agenda perbincangan bersama rakan-rakan sekolah dan teman setaman permainan tanpa rasa bosan dan jemu. Bukan Transformers, bukan Thundercats, bukan He-Man, bukan MacGyver, bukan Knight Rider, bukan The A-Team, bukan apa sahaja yang biasa dibincangkan secara rutin setiap minggu. Hanya Superman.


Sejak itu, kehidupan penulis berubah. Semangat untuk terus mendalami dan menerokai dunia superhero seperti Superman semakin hari, semakin merasuk diri (semasa penerokaan inilah, baru penulis tersedar setahun selepas itu bahawa tayangan filem Superman sempena Hari Kanak-kanak itu rupanya ditayangkan setahun lewat dari tayangan perdananya seluruh dunia pada 1987).

Malah, ia tidak terhenti dan terputus hanya di sekolah. Kobarnya diteruskan semasa di universiti dan sehingga kini apabila sudah memasuki alam pekerjaan, ia tetap menjadi obsesi penulis No.1, komik dan superhero.

Namun, ia mengambil masa kira-kira 18 tahun berikutnya selepas itu untuk Superman kembali semula ke panggung wayang melalui filem 'Superman Returns'. Bryan Singer sebagai pengarah dan Brandon Routh  selaku muka baru yang memegang peranan sebagai Superman/Clark Kent diramalkan bakal mengubat kerinduan penulis dan berjuta lagi peminat-peminat lain di seluruh dunia melalui filem terbaru ini. Penulis telah berulang-alik ke pawagam sebanyak 4 kali semata-mata untuk meresap semangat dan batin jelmaan Superman yang baru ini. Semakin penulis mengerah dan memaksa diri untuk berbuat demikian, semakin ia mendatangkan rasa yang tidak kesampaian. Pada ketika itu (2006), penulis bekerja sebagai seoarang kadet wartawan untuk semua majalah komik yang baru di sebuah syarikat penerbitan majalah nombor satu di Malaysia. Tidak dapat tidak, naskah yang dikatakan akan mengembalikan kemegahan Superman dalam dunia filem tampaknya tidak menjadi dan menghampakan ramai pihak.

Malah yang menjadi dan mengena pula adalah trilogi Batman hasil karya dan produksi Christopher Nolan (2005-2012) dan semesta sinematik Marvel Comics yang dimulakan dengan Iron Man pada tahun  2008 sehinggalah kejayaannya dapat menyatukan ke semua superhero-superhero ciptaan Stan Lee di bawah jata 'The Avengers', arahan Joss Whedon.


Kini pada tahun 2013, kita semua bertuah kerana berpeluang menyaksikan jelmaan Superman terbaru yang dianggap paling kompleks, paling garang dan paling emosional sekali dalam sejarah adaptasi dan perfileman komik. 'Man of Steel' dibawakan oleh power couple paling berpengaruh di Hollywood sekarang ini iaitu Christopher Nolan/Emma Thomas dan Zack Snyder/Deborah Snyder bersama paduan penulis skrip paling prolifik dalam filem-filem adaptasi komik ke filem iaitu David Goyer. Berdasarkan sumber sahih dan laporan, idea jalan cerita untuk filem ini sebenarnya wujud ketika David Goyer sedang kebuntuan idea untuk menyiapkan skrip filem 'The Dark Knight Rises'. Teruja dengan konsep dan keaslian idea penulis skrip tersebut yang meletakkan Superman sebagai sebuah karakter superhero moden dan mengikut arus kontemporari dunia kini, Christopher Nolan bersetuju untuk melobi gagasan idea tersebut untuk seterusnya diluluskan oleh studio produksi.

Zack Snyder dipilih sebagai pengarah kerana ketajamannya mengasimilasikan superhero dengan unsur realisme sepertimana yang dilakukannya dalam filem '300' dan 'Watchmen'. Maka bermulalah era baru filem Superman yang memulakan produksi dan penggambarannya pada 2011.






Kali ini buat pertama kalinya, seorang pelakon asal British telah dipilih sebagai pemegang teraju utama sebagai Superman/Kal-El/Clark Kent. Setelah diketepikan Brandon Routh 7 tahun dahulu, Henry Cavill dengan rasminya menjadi aset penting filem ini kerana beliau dilabel oleh penulis sebagai seorang pelakon yang lebih berpengalaman, ada gaya tersendiri dan yang paling penting sekali: Benar-benar memiliki susuk seorang Superman!


Sejak Khamis lalu (Jun 13, 2013), ramai di antara anda semua sudah menjadi penonton awal lagi bertuah yang dapat menontonnya terdahulu dari yang lain pada hari pertama tayangan. Majoriti pembaca dan pengikut KEDAI KOMIK ONLINE juga pasti telah menyaksikannya pada hujung minggu lalu. Untuk itu sepertimana yang dijanjikan, berikut adalah review untuk filem 'Man of Steel':

*
*
*
*
*

AMARAN SPOILER

*
*
*
*
*

SUMBER RUJUKAN
Berdasarkan pengamatan penulis, berkemungkinan besar rujukan-rujukan utama yang diambil untuk proses penghasilan skrip dan filem ini adalah bahantara komik-komik seperti 'Superman: Secret Origin' (Penulis Geoff Johns, Pelukis Gary Frank), 'Superman: Secret Identity' (Penulis Kurt Busiek, Pelukis Stuart Immonen), 'Superman: Birthright' (Penulis Mark Waid, Pelukis Leinil Francis Yu), 'Superman: For Tomorrow' (Penulis Brian Azarello Pelukis Jim Lee), 'Superman: New Krypton' (variasi penulis dan penulis) serta beberapa komik lain secara minimal atau saduran.

KESINAMBUNGAN & HALATUJU
Konti filem ini benar-benar tersendiri dan tidak mengikut pada mana-mana kesinambungan filem, animasi, komik atau format-format media lain yang mempunyai penampilan Superman. Malah ada beberapa elemen asal-usul Superman juga diubah seperti Fortress of Solitude (kediaman Superman di Antartika), pengubahsuaian penjara Phantom Zone untuk penjenayah-penjenayah Krypton, kelahiran pra-genetik bangsa Krypton yang dijana sebelum hamil untuk ketetapan peranan dan fungsi sebagai warganya, watak Ketua Editor Daily Planet Perry White dan Jimmy Olsen (yang kini adalah seorang wanita bernama Jenny Olsen). Malah yang paling mengejutkan adalah perkenalan Clark Kent/Lois Lane sebelum wujudnya Superman dan prinsip dan moral etika 'Superhero Tidak Membunuh' yang terpaksa dilanggar oleh Superman tatkala menamatkan riwayat hidup General Zod!


‘STATUS QUO’
Ini bermakna formulasi mencabar ‘status quo’ telah diaplikasikan dengan secara berani sekali. Sekiranya ada diantara penonton dan peminat yang mengikuti kesemua filem-filem Superman sebelum ini termasuklah siri TV ‘Smallville’, ‘Lois & Clark’ mahupun mana-mana siri animasi yang pernah disiarkan sebelum filem ini muncul, maka adalah dinasihatkan melupakannya sahaja untuk efek penceritaan yang lebih berkesan. Ianya akan mendatangkan sentimen sangat mendalam apabila asal-usul Superman yang datang dari planet Krypton itu berkontradiksi dengan kerabat bangsawan beliau. Apabila di bumi, keluarga petani Jonathan dan Martha Kent dari Smallville telah membesarkan beliau dengan nilai-nilai sederhana dan moral-moral berprinsip sehinggakan terpaksa mengorbankan nyawa ayahnya sendiri. Ramai telah akui bahawa babak itu adalah antara babak yang paling emosional sekali.

Ketiadaan Lex Luthor dan kristal hijau Kryponite juga telah membuka kebarangkalian yang lebih besar untuk trilogi mendatang. Memandangkan kedua-dua elemen ini begitu penting dalam mitos dan legasi Superman, penulis yakin sekuelnya nanti akan lebih epik dan menggegar. Dan sekali lagi, ‘status quo’ akan dicabar dan digubal sekeras-kerasnya!

Ramai yang menyangkal etika dan kod prinsipal Superman apabila beliau membunuh General Zod dalam 'Man of Steel'. Untuk rekod, beliau pernah sekali berbuat demikian dalam 'Superman' (1988) isu #22. 

SEKUEL: 2014?
Khabar angin sekarang sedang bertiup kencang dengan laporan yang menyatakan sekuel filem ‘Man of Steel’ akan keluar seawal-awalnya pada hujung tahun hadapan . Dari sumber-sumber yang dilabel sebagai boleh dipercayai dan sahih, memungkinkan filem-filem yang belum lagi dialihkan kepada medium filem seperti Wonder Woman, Flash dan Aquaman untuk melengkapkan pasukan ‘Justice League’ kini sedang dalam fasa produksi serta-merta. Ini bermakna Marvel akan berhadapan saingan ketat di Hollywood sepertimana dihadapinya dalam industri komik.         


BERMULANYA SEMESTA SINEMATIK DC COMICS
Filem ‘Man of Steel’ ini merupakan penanda aras permulaan kepada semesta sinematik DC Comics yang akan datang dan bakal terbina sehingga akan mewujudkan gagasan Justice League (dijangka siap seawal-awalnya pada tahun 2015). Ini jelas terbukti apabila terdapat ‘easter egg’ atau sorokan-sorokan terpencil untuk pemerhati yang lebih tajam seperti babak-babak yang menunjukkan lori kontena LexCorp ditumpangi semasa Clark Kent pulang ke kampung dan diranapkan dalam pertempuran dengan General Zod di Metropolis. Juga hancurnya satelit milik Wayne Enterprises semasa babak tempur di orbit bumi dan beberapa billboard iklan serta watak-watak pipih dan tempelan dari keluarga besar semesta DC Comics yang tiada dalam kredit.


MARVEL vs DC COMICS - SATU LAWAN SATU!
Jika dibuat perbandingan antara semesta sinematik Marvel dan semesta sinematik DC Comics, ada satu perbezaan yang paling ketara: Marvel lebih mesra dan muhibbah dengan penonton dan peminatnya dengan watak yang lebih mudah difahami serta setia pada adaptasi komiknya. Manakala, filem-filem DC Comics lewat trilogi ‘The Dark Knight’ di bawah naungan Christopher Nolan adalah lebih komplek, membumi kepada dunia moden, berani, garang, dramatik dan kurang kesesuaiannya untuk tontonan kanak-kanak di bawah 12 tahun (dan mungkin ke atas sedikit). Pendek kata, filem DC Comics yang ada nama Christopher Nolan dalam kreditnya perlu ditonton sepertimana mana cara menonton filem-filemnya yang terdahulu kerana ia memerlukan penonton membuat sedikit homework seperti ‘The Prestige’ dan ‘Inception’. Intelektuil dan penuh falsafah.

REKOMENDASI & CADANGAN



Tanda tanya terbesar sekarang ini sudah tentu: Apakah yang akan terjadi pada Superman dan reaksi pasca-serangan General Zod di seluruh dunia apabila mereka mengetahui telah wujud seorang superhero makhluk asing yang ada untuk menyelamatkan dan mempertahankan mereka dari sebarang ancaman dan serangan dari dalam dan luar bumi? Apakah rancangan besar Lex Luthor yang bakal menidakkan dan mencabar kedudukan itu selaku rasis dan anti-tesis kepada bangsa asing seperti Kal-el? Apakah akan muncul karakter dan watak yang bakal mewujudkan formasi Justice League untuk tempoh 3 tahun akan datang? Semua itu pasti akan terjawab jua. Lupakan soal remeh-temeh dan rencam seperti bulu dada Superman, babak bergasak ala ‘Dragon Ball’ atau ‘Matrix’. Penonton dan peminat harus lebih fokus pada perkara yang lebih menggugah dan epik yang bakal terjadi kelak dalam triloginya. Cuma penulis mahukan kekuatan pemilihan pelakon sepertimana kuat dan kukuhnya pembawakan Kevin Costner, Russel Crowe dan Michael Shannon dalam filem ini. Tabik dan hormat pada pelakon-pelakon ini kerana memberikan persembahan Gred A.

Mungkin watak Lex Luthor dan konco-konco serta seteru baru yang bakal menggasak Superman untuk sambungan ‘Man of Steel’ harus lari dari stereotype dan klise. Penulis yakin dan percaya pada reputasi Christopher Nolan, Zack Snyder dan David Goyer. Tanpa banyak mengusulkan pendapat dan cadangan, penulis hanya mahu mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ untuk menjelmanya unsur kejutan dalam masa terdekat ini!


KESIMPULAN
Akhirnya. Setelah menantikan sekian lama dan menunggu sekuel demi sekuel selepas filem Superman buat pertama kalinya (yang kebetulan pula filem pertama saya di pawagam), penulis berasa sangat puas hati dan teruja dengan ‘Man of Steel’. Seperti yang dinyatakan dalam Facebook penulis sebelum ini, ianya tampak kompleks, garang dan berani: Sesuai untuk mencabar iklim mana-mana filem superhero yang ditayangkan sejak sedekad yang lalu. Malah ia meletakkan penanda aras yang begitu tinggi hinggakan filem-filem superhero yang selepas ini harus bertindak lebih agresif dan proaktif. Inilah yang penulis mahukan.


Ulangtahun kelahiran ke-75 superhero moden pertama sejak 1938 tahun ini disambut dengan begitu indah sekali dengan tayangan 'Man of Steel' lakonan Henry Cavill.

Semangat zaman kanak-kanak terus dihidupkan dengan cerita yang lebih terbuka dan aksi-aksi yang belum pernah muncul dalam skrin wayang sebelum ini. Dua kali menonton ‘Man of Steel’, masih rasa seperti kanak-kanak berusia 8 tahun. Jarang wujud perasaan itu dalam diri penulis.

Cukup sentimental. Cukup nostalgik.


FM

No comments:

Post a Comment