'Komik & Saya' | PROLOG


Saya ada satu sifat yang dirasakan begitu sinonim dengan diri saya dalam apa jua perkara yang saya lakukan. Tidak kira ketika saya sedang makan, ketika saya sedang menonton filem di pawagam, sedang membaca komik atau sedang melakukan apa-apa saja termasuklah ketika sedang tidur. Saya akui sifat ini adalah sifat kekal saya yang kerap muncul sama ada sengaja ataupun tidak sengaja. Saya juga yakin dan percaya sifat ini ada pada semua orang yang sedang membaca tulisan saya ini.

Satu perkataan. Tujuh huruf:

"Cerewet"

Oh. Maafkan saya. Bukan itu.

Dua perkataan. 13 huruf.

"Sangat cerewet" 

Dan oleh kerana sifat yang satu inilah, saya sangat mengambil masa dan kesesuaian yang cukup baik untuk saya memulakan ruangan untuk menulis tentang perkara yang saya dan anda semua suka iaitu KOMIK.

Sepanjang saya berkelana selama mana tentang dunia komik itu sendiri, saya telah mengumpul banyak pengalaman yang saya rasa adalah sesuatu yang amat merugikan diri saya sendiri seandainya tidak dikongsikan bersama-sama. Saya mula mengenal huruf dan membaca melalui komik, saya belajar menulis dan bercerita melalui komik. Obsesi saya pada komik sedikit-sebanyak banyak membentuk sahsiah dan peribadi saya pada hari ini. Dari sudut karakteristik, penampilan, intelek, falsafah malah hingga ke penstrukturan ekonomi dan perniagaan sekalipun; saya terpengaruh kuat dengan rujukan komik.

Pengalaman saya sepanjang-panjang bergiat dalam dunia komik telah membuka keluasan mata minda saya. Sebelum menjadi seorang profesional, saya memang seorang pembaca dan pengumpul komik yang tegar. Ini sudah muncul lama dahulu sebelum wujudnya zaman Facebook, blog, YouTube, Google malah internet sekalipun. Malah sehingga sekarang, saya masih tetap membaca komik dengan keras dan mengumpul dengan deras. Secara tidak langsung, sudah jelas saya tidak mahu pandang ke belakang lagi: Saya mahu jadi seorang penggiat komik yang serius.

Apabila kita sungguh-sungguh dan percaya pada iltizam kita, nescaya bukan rahsia lagi ia akan menjadi realiti. Sudah banyak bukti yang kita lihat. Takdir ketentuan itu telah saya ketemukan apabila ditawarkan untuk menjadi seorang Kadet Wartawan  Muda di sebuah syarikat penerbitan majalah No.1 di negara ini. Pada waktu itu, saya berasa amat bertuah kerana diberikan mandat untuk menjadi kemudi awal menggerakkan sebuah gagasan yang baru di bina di syarikat itu iaitu Jabatan Komik. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, bagaikan mahu betis paha diberi; karier saya sebagai seorang perkarya komik profesional bermula dari situ. Dengan pertemuan bersama idola-idola dan ikon-ikon arena komik tanahair yang pernah menjadi pujaan saya ketika zaman persekolahan dahulu, kini saya bekerja sebumbung sehaluan dalam lapanga yang sama.

Siapa kata mimpi tidak jadi kenyataan?  

Selang setahun dua selepas itu, saya memanjangkan langkah lagi. Kali ini saya ke sebuah studio penerbitan komik yang betul-betul fokus pada penerbitan komik semata. Saya berkhidmat sebagai penulis/editor komik. Seronoknya bukan kepalang kerana saya rasakan pada waktu itu (2007), studio tempat saya berkarya itu berjaya menghimpun antara bakat-bakat pengkarya komik muda terbaik dan berpotensi besar untuk pergi jauh dan berpotensi besar.

Kemudian selepas berkhidmat dua tahun dalam bidang penyiaran, saya kembali ke dunia penerbitan buku pula. Unit di bawah seliaan saya menerbitkan buku-buku untuk bacaan lelaki seperti buku fiksyen sains, ‘adventure’, perisikan, komedi dan sebagainya. Ini tidak lari jauh daripada dunia komik juga kerana tema serta konsepsual adalah sama. Penuh warna-warni, sarat dengan elemen penceritaan dan penglipur-laraan yang dinamik, padat unsur yang membuatkan sesiapa saja mahu melekat padanya hingga ke muka surat akhir.

Hari ini, saya mahu ceritakan itu semua dan banyak lagi tentang apa yang saya tahu, apa yang saya fikir dan apa yang saya alami dalam dunia komik

Anda dan anda adalah manusia yang terpilih untuk terus bersama saya dalam kembara ini.

Saya akan bercerita tentang falsafah, ideologi, doktrin dan enigma dunia komik.

Saya akan berkongsi pengalaman, pengetahuan dan isi kandungan dunia komik.

Saya akan berada dalam keadaan yang sejujurnya dan sebenarnya apabila meluahkan dan mengekspresikan zahir dan abtin saya dalam dunia komik.

Selamat datang semua.

Selamat membaca semua.

Bermula hari ini, saya akan ceritakan segala-galanya.


FM