REVIEW | IRON MAN 3

Nota: Harap maklum. Review ini mempunyai kenyataan dan butir-butir filem yang diklasifikasikan sebagai 
SPOILER MATERIAL

Ramai yang sudah sedia maklum (dan juga menjangka) bahawa filem ‘Iron Man 3’ telah meledakkan rekod-rekod box-office seluruh dunia dengan begitu cergasnya setakat hari ini (USD$195.3 juta untuk 42 negara, USD$10 juta lebih banyak dari hari pembukaan ‘The Avengers’ pada tahun lalu dengan USD$185.1 – termasuk rekod box office pembukaan hari pertama untuk Filipina, Singapura, Taiwan, Vietnam dan negara kita Malaysia). Untuk makluman juga, tarikh tayangan rasmi untuk Amerika Syarikat, Kanada, China, Jerman, Russia dan majoriti negara-negara lain di serata dunia adalah hanya pada 3 Mei ini.

Sejak tiga hari lalu, ramai sudah menjadi antara penonton awal lagi bertuah yang dapat menyaksikannya terdahulu dari yang lain pada tengah malam hari pertama. Jika tidak pun, majoriti pembaca dan pengikut KEDAIKOMIKONLINE pasti telah menonton pada hujung minggu lalu. Untuk itu sepertimana yang dijanjikan, berikut adalah review untuk filem ‘Iron Man 3’:

1 | SUMBER RUJUKAN
Filem ini mendapat  sumber rujukan cerita dari empat buah siri komik: ‘Extremis’ (Iron Man #1-4, Jilid 4 2004), ‘Haunted’ (Iron Man #21-26, Jilid 4 2008), ‘The Mask in the Iron Man’ (Invincible Iron Man #26-30, Jilid 3 2001), ‘World’s Most Wanted’ (Invincible Iron Man #8-19, Jilid 1 2009). Dan juga sedikit inspirasi untuk baju-baju perisai baru bagi Mark 8 sehingga Mark 42 dari beberapa komik, video game dan idea-idea asal yang lain. Apabila diadun semula oleh penulisnya Drew Pearce dan pengarahnya Shane Black, maka terhasillah Iron Man 3.

2 | KRONOLOGI
Filem ini merupakan filem ke-7 dalam Marvel Cinematic Universe sejak 'Iron Man' (2008) dan permulaan bagi Fasa 2 selepas 'The Avengers' (2012) menamatkan Fasa 1. Ia tidak dirancang sebagai sebuah trilogi kerana semua filem-filem di bawah Marvel/Walt Disney Studios akan disusun perjalanan ceritanya back-to-back sebagai sebuah shared universe yang mempunyai jalan cerita yang bermula dengan Iron Man yang pertama dan terus bersambung seperti berikut:

FASA 1
1. Iron Man (2008)
2. The Incredible Hulk (2008)
3. Iron Man 2 (2010)
4. Thor (2011)
5. Captain America: The First Avenger (2011)
6. The Avengers (2012)

FASA 2
1. Iron Man 3 (2013)
2. Thor: The Dark World (2013)
3. Captain America: The Winter Soldier (2014)
4. Guardians of the Galaxy (2014)
5. The Avengers 2 (2015)

FASA 3
1. Ant-Man (2015)

3 | ARAHAN & HALATUJU
Untuk filem ini, Marvel telah menggantikan pengarah asal untuk ‘Iron Man’ dan ‘Iron man 2’ iaitu Jon Favreau kepada Shane Black. Beliau adalah penulis skrip yang popular dengan filem-filem aksi era lewat 80an dan awal 90an seperti Lethal Weapon, Lethal Weapon 2, Last Action Hero dan banyak lagi. ‘Iron Man 3’ merupakan kredit pengarahan keduanya selepas filem ‘Kiss Kiss Bang Bang’, juga dibintangi Robert Downey Jr. Manakala, Jon Favreau hanya bertindak sebagah penerbit eksekutif dan masih memegang watak sebagai Happy Hogan, pemandu dan pengawal peribadi Tony Stark.

Jika ada yang memberi tumpuan pada corak jalan cerita, pergerakan kamera dan syot, gubahan skor muzik serta kesan khas dan suntingan (terutama sekali montaj pasca kredit yang punya pendekatan retro), Shane Black membawa kelainan yang ternyata berbeza. Terutamanya dinamik dari segi perkembangan karakter dan konflik permasalahan. Ada dilema cinta, krisis sejarah lampau, satira politik dunia, kesilapan yang tidak disengajakan atau disengajakan dan banyak lagi. Ada yang melabel ini sebagai sesuatu yang baru lebih ‘fresh’ dalam evolusi filem-filem Marvel ataupun sesuatu yang terlampau radikal sehingga menyebabkan rasa yang kurang selesa.

4 | SELAMAT TINGGAL ROBERT DOWNEY JR. ?
Berdasarkan kontrak filem yang dipersetujui, inilah filem terakhir di bawah kontrak watak Tony Stark/Iron Man yang di telah bawa oleh Robert Downey Jr. Semuanya ada 5 filem (‘Iron Man’, ‘Iron Man 2’, ‘Avengers’, ‘Iron Man 3’). Ini turut dialami oleh beberapa watak utama lain seperti Pepper Pots (Gwyneth Paltrow) dan Colonel James Rhodes (Don Cheadle). Perbincangan masih berlangsung untuk mengekalkan pelakon yang sama untuk watak yang sama, namun macam-macam berlaku dalam masa terdekat ini berdasarkan persembahan box-office sepanjang tayangan ‘Iron Man 3’, jadual waktu para pelakon dan keperluan filem Iron Man di masa-masa akan datang.

Namun seandainya ada yang menunggu sehingga penghujung kredit dan babak bonus tamat kredit, jelas tertera ayat: ‘Tony Stark will return’. Beliau akan kembali, sama ada Robert Downey Jr. atau kita akan dapat lihat Tony Stark/Iron Man, hanya waktu yang akan menentukan segala.

5 | KRITIKAN, KOMPLEN & KOMENTAR

Pengolahan watak The Mandarin
Untuk penonton kebanyakan yang hanya mengetahui latar belakang dan sejarah Iron Man melalui filem-filemnya sejak 2008, mereka pasti tidak mempunyai sebarang masalah besar atau tekanan dengan watak baru terutamanya Mandarin.

Sekiranya Superman ada Lex Luthor, Batman ada Joker. Sekiranya Autobot ada Decepticon, G.I Joe ada Cobra. Sama seperti Real Madrid ada Barcelona dan Barisan Nasional ada Pakatan Rakyat untuk mereka jadika seteru dan selingkuh abadi sesama sendiri sehingga hujung nyawa.

Untuk pembaca komik dan peminat tegar Iron Man, pasti sudah tahu siapakah dan apakah dia peranan utama Mandarin selaku musuh terutama beliau sejak kemunculan pertamanya dalam ‘Tales of Suspense’ isu #50 (1964). Kuasa yang ada pada Mandarin jauh lebih hebat dari Lex Luthor, Joker, Megatron dan Cobra Commander. Sebagai seorang saintis genius, beliau memiliki hampir semua ilmu mempertahankan diri yang pernah dan akan wujud di dunia, termasuk lebih gah selaku pemilik Ten Rings yang berasal dari Makluan Axonn-Karr yang penuh magis dan mistik. Jelasnya di sini, Mandarin bukan calang-calang supervillain dengan punca kuasa yang luarbiasa dan hampir tidak terkalahkan. Namun, apa yang dilihat dalam Iron Man 3 adalah satu bentuk penyelewengan yang besar dan menjahanamkan ciri-ciri karakter beliau yang hebat itu.

Mandarin hanya didedahkan sebagai imejan watak seorang pelakon picisan yang kaki botol dan tahi dadah?

Saya percaya Marvel Creative Committee yang dianggotai oleh nama-nama besar dalam Marvel Comics seperti CCO Joe Queada, Brian Michael Bendis, Alan Fine, Dan Buckley dan ramai lagi tidak akan bertindak sewenang-wenangnya untuk meluluskan skrip filem seperti yang diterjemahkan dalam Iron Man 3 ini. Saya percaya pasti ada muslihat dan agenda tersembunyi untuk filem-filem Iron Man akan datang ataupun setidak-tidaknya dalam filem-filem Marvel akan datang. Memperlakukan watak yang bagus seperti Mandarin dalam filem ini adalah ibarat melihat sekuel remake kepada filem Nujum Pak Belalang bajet rendah sahaja.

‘Suspension of disbelief’
Setiap superhero yang hebat tidak perlu sempurna. Selagi ada kelemahan dan kekurangan, pasti akan terbit kekuatan-kekuatan luarbiasa yang lebih meyakinkan adiwira tersebut untuk terus menegakkan keadilan dan kebenaran dan menumbangkan kejahatan dan kedurjanaan.

Namun ada sesetengah plot dan babak dalam filem ini menunjukkan Tony Stark/Iron Man terlalu sempurna dan sifar kesilapan. Babak rumah Tony Stark diserang, babak Air Force One meletup, babak kemunculan kesemua perisai-perisai Iron Man dari Mark 8 hingga ke Mark 42 dan pertempuran ‘House Party Protocol’ lawan askar-askar ekstremis adalah bagus dan mantap tetapi mendekati Kollywood (filem-filem Tamil) dari Hollywood.

Ini nanti akan mendatangkan rasa jelak kepada penonton apabila mereka sedar Marvel sudah berniat untuk kembali ke zaman 90an yang mana kebanyakan filem-filem aksinya adalah jenis ‘tangkap muat’.

Terlalu banyak watak baru, terlalu terhad masa
Masalah ini dihadapi untuk filem ‘Spider-Man 3’, ‘Green Lantern’ dan ‘Transformers: Revenge of the Fallen’. Penonton tidak sempat berkenalan dan meneroka watak-watak baru dengan baik. Tidak perlu secara total, hanya secara baik.

Siapakah Aldrich Killian di sebalik idelogi Advanced Idea Mechanics? Kenapa Dr. Maya Hansen boleh datang balik dalam hidup Tony Stark dan insaf dengan secara tiba-tiba? Mengapa Kolonel James Rhodes/Iron Patriot tidak lagi di bernaung di bawah Tentera Udara Amerika Syarikat dan kali ini bekerja sebagai unit khas Presiden?

Dengan filem di bawah durasi 3 jam, ini merupakan masalah yang tidak sepatutnya berlaku untuk filem sebesar dan sepopular Iron Man 3.

Babak aksi yang terlalu ‘sibuk’, ‘tergesa’ dan ‘mengelirukan’
Tidak sah sesebuah filem superhero atau adaptasi komik tanpa ada babak-babak aksi yang mendebarkan dan mengujakan. Namun babak aksi yang tidak kena pada masa dan slotnya termasuk yang tidak perlu akan mendatangkan kesan yang merimaskan. Terutama sekali apabila penonton menanti-nanti babak yang sedemikian.

Sebagai contoh, babak akhir Iron Man 3 yang sungguh klimatik tapi tidak cukup memuaskan nafsu penonton.

Dengan 35 baju perisai Iron Man muncul dan kesemuanya baru-baru belaka dan masih dalam peringkat pengenalan, adakah kita semua puas melihat satu persatu dengan babak kemunculan di bawah 20 minit? Saya rasa jawapan tidak.

Babak bonus tamat kredit
Sejak Iron Man (2008) sehinggalah Avengers (2012), semua babak bonus tamat kredit adalah menarik. Setidak-tidaknya ia seronok untuk ditunggu selepas selesai kredit dilem untuk pengalaman tontonan tambahan. Untuk Iron Man 3, babak bonus tamat kredit tidak mencapai tahap yang biasanya dilakukan tanpa tiada langsung unsur kejutan.

Apa sudah jadi?

6 | REKOMENDASI & CADANGAN
Kami selaku penonton dan peminat teramat sedar betapa sukar dan mencabarnya memenuhi hasrat serta harapan menggunung bagi memastikan permulaan FASA 2 Marvel Cinematic Universe ini berlangsung dengan lancar.

Apa yang dilihat ini bukanlah sesuatu yang dilabel sebagai ‘tidak boleh dimaafkan’ atau ‘teruk’. Tetapi keadaan boleh menjadi lebih elok sekiranya Disney/Marvel Studios perbanyakkan lagi rujukan dan kajian bagaimana filem-filem terdahulu pernah melakukan pendekatan yang sama namun gagal. FASA 1 saya berikan markah yang cukup tinggi kerana berjaya mengubah lanskap filem adaptasi komik dan superhero ke aras yang dianggap hampir mustahil.

Sekiranya Marvel boleh tahu apa yang sudah berlaku sekarang, di harap post-mortem produksi dan studionya nanti akan baca review saya ini dan ambil nota untuk perbaiki diri. Saya sepertimana anda semua, mahu kualiti diutamakan dan kuantiti disusulkan. 

7 | KESIMPULAN
Disney/Marvel Studios harus fikir panjang untuk menyambung kontrak Shane Black (mujur beliau hanya menandatangani kontrak hanya untuk satu filem). Ataupun setidak-tidaknya lebih berhati-hati dan menyeluruh dalam memilih pengarah dan penulis skrip. Filem yang seterusnya adalah Thor: The Dark World, diarahkan oleh Alan Taylor yang terbukti sukses di televisyen melalui siri 'Game of Thrones'. Mari kita harapkan mojo beliau berterusan untuk filemnya kelak untuk sekuel Thor tersebut.