'Komik & Saya' | EPISOD 1


Bercerita tentang dunia komik serta segala isi dan kandungan yang ada terwujud di dalamnya, pasti akan sentiasa membuatkan saya rasa teruja. Komik merupakan satu wadah dan wahana besar yang merangkumi banyak aspek dalam hidup kita. Baik dari segi sahsiah, falsafah, fahaman, sejarah, akademik,  politik dan sebagainya.

Dari mula saya mengenal huruf sehinggalah ke peringkat saya tahu bagaimana untuk membaca, komik telah membuka banyak lembaran-lembaran baru serba luarbiasa.

Masih ingat lagi pada suatu ketika dahulu, semasa ibu dan bapa saya membawa saya ke sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur pada pertengahan 80an. Waktu hujung minggu pada lazimnya, bapa akan membawa berjalan-jalan sekitar lokasi-lokasi pilihan di Kuala Lumpur. Meneruskan cerita, orang tua saya telah membawa saya dan adik-adik saya masuk ke dalam sebuah kedai buku. Seperti mana ibu dan bapa lain, sudah pasti mereka mahu mencarikan saya buku-buku untuk dijadikan bahan bacaan berguna di rumah. Umur saya pada waktu itu hanyalah 6 tahun. Namun, dalam banyak-banyak buku yang terdapat di dalam kedai buku tersebut, mata saya tertumpu pada satu dan hanya pada satu sudut sahaja: Tidak lain dan tidak bukan, sudut komik.

Saya seolah-olah telah di bawa ke suatu alam yang serba baru kerana pada ketika itulah pengalaman pertama saya yang masih segar hingga sekarang berhadapan dengan komik berjenama Marvel.

Karakter yang terpampang di dada kulit komik itu adalah seorang superhero yang mengenakan kostum berjalur labah-labah, sedang bergayut di atas bangunan sambil mengejar dua orang yang saya sangat pasti merupakan perompak bank (berdasarkan kantung wang dan topeng yang dipakai).

Cukup terkesima dan sangat teruja, saya mahu memiliki buku berwarna yang sangat hebat itu.

Ibu saya sudah siap-siap dengan buku-buku di tangan untuk saya pilih dan baca kelak di rumah. saya tidak ada minat lagi untuk memiliki apa-apa buku lain selain dari buku berwarna yang sangat hebat itu.

“Spider-Man?”

Ibu bertanya.

“Nak Spider-Man, boleh ma …?”

Ibu saya diam sejenak. Tidak sampai seminit ibu meluluskan permohonan saya untuk memiliki komik pertama saya semasa berusia 6 tahun yang berjudul Spider-Man dengan syarat saya tetap mahukan buku yang disyorkan dan membacanya di rumah.

Saya sangat seronok kerana dapat membaca komik. Sebelum itu, saya tidak pernah ada pendedahan langsung tentang komik kecuali kartun-kartun animasi yang saya tonton di kaca televisyen. Apabila lukisan seumpama kartun dibukukan dan boleh saya lihat lebih jelas di hadapan mata saya dan boleh saya belek dan baca berulang-ulang kali tanpa jemu.

Saya kenal Superman, saya kenal Batman, saya kenal Ultraman dan banyak lagi superhero-superhero yang pernah muncul di kaca televisyen. Tetapi saya tidak pernah kenal dan tidak pernah tahu Spider-Man. Tambah-tambah lagi apabila pertemuan pertama saya dengan Spider-Man juga merupakan pengenalan saya pada buku berformat komik.