'Komik & Saya' | EPISOD 1


Bercerita tentang dunia komik serta segala isi dan kandungan yang ada terwujud di dalamnya, pasti akan sentiasa membuatkan saya rasa teruja. Komik merupakan satu wadah dan wahana besar yang merangkumi banyak aspek dalam hidup kita. Baik dari segi sahsiah, falsafah, fahaman, sejarah, akademik,  politik dan sebagainya.

Dari mula saya mengenal huruf sehinggalah ke peringkat saya tahu bagaimana untuk membaca, komik telah membuka banyak lembaran-lembaran baru serba luarbiasa.

Masih ingat lagi pada suatu ketika dahulu, semasa ibu dan bapa saya membawa saya ke sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur pada pertengahan 80an. Waktu hujung minggu pada lazimnya, bapa akan membawa berjalan-jalan sekitar lokasi-lokasi pilihan di Kuala Lumpur. Meneruskan cerita, orang tua saya telah membawa saya dan adik-adik saya masuk ke dalam sebuah kedai buku. Seperti mana ibu dan bapa lain, sudah pasti mereka mahu mencarikan saya buku-buku untuk dijadikan bahan bacaan berguna di rumah. Umur saya pada waktu itu hanyalah 6 tahun. Namun, dalam banyak-banyak buku yang terdapat di dalam kedai buku tersebut, mata saya tertumpu pada satu dan hanya pada satu sudut sahaja: Tidak lain dan tidak bukan, sudut komik.

Saya seolah-olah telah di bawa ke suatu alam yang serba baru kerana pada ketika itulah pengalaman pertama saya yang masih segar hingga sekarang berhadapan dengan komik berjenama Marvel.

Karakter yang terpampang di dada kulit komik itu adalah seorang superhero yang mengenakan kostum berjalur labah-labah, sedang bergayut di atas bangunan sambil mengejar dua orang yang saya sangat pasti merupakan perompak bank (berdasarkan kantung wang dan topeng yang dipakai).

Cukup terkesima dan sangat teruja, saya mahu memiliki buku berwarna yang sangat hebat itu.

Ibu saya sudah siap-siap dengan buku-buku di tangan untuk saya pilih dan baca kelak di rumah. saya tidak ada minat lagi untuk memiliki apa-apa buku lain selain dari buku berwarna yang sangat hebat itu.

“Spider-Man?”

Ibu bertanya.

“Nak Spider-Man, boleh ma …?”

Ibu saya diam sejenak. Tidak sampai seminit ibu meluluskan permohonan saya untuk memiliki komik pertama saya semasa berusia 6 tahun yang berjudul Spider-Man dengan syarat saya tetap mahukan buku yang disyorkan dan membacanya di rumah.

Saya sangat seronok kerana dapat membaca komik. Sebelum itu, saya tidak pernah ada pendedahan langsung tentang komik kecuali kartun-kartun animasi yang saya tonton di kaca televisyen. Apabila lukisan seumpama kartun dibukukan dan boleh saya lihat lebih jelas di hadapan mata saya dan boleh saya belek dan baca berulang-ulang kali tanpa jemu.

Saya kenal Superman, saya kenal Batman, saya kenal Ultraman dan banyak lagi superhero-superhero yang pernah muncul di kaca televisyen. Tetapi saya tidak pernah kenal dan tidak pernah tahu Spider-Man. Tambah-tambah lagi apabila pertemuan pertama saya dengan Spider-Man juga merupakan pengenalan saya pada buku berformat komik.



  

'Komik & Saya' | PROLOG


Saya ada satu sifat yang dirasakan begitu sinonim dengan diri saya dalam apa jua perkara yang saya lakukan. Tidak kira ketika saya sedang makan, ketika saya sedang menonton filem di pawagam, sedang membaca komik atau sedang melakukan apa-apa saja termasuklah ketika sedang tidur. Saya akui sifat ini adalah sifat kekal saya yang kerap muncul sama ada sengaja ataupun tidak sengaja. Saya juga yakin dan percaya sifat ini ada pada semua orang yang sedang membaca tulisan saya ini.

Satu perkataan. Tujuh huruf:

"Cerewet"

Oh. Maafkan saya. Bukan itu.

Dua perkataan. 13 huruf.

"Sangat cerewet" 

Dan oleh kerana sifat yang satu inilah, saya sangat mengambil masa dan kesesuaian yang cukup baik untuk saya memulakan ruangan untuk menulis tentang perkara yang saya dan anda semua suka iaitu KOMIK.

Sepanjang saya berkelana selama mana tentang dunia komik itu sendiri, saya telah mengumpul banyak pengalaman yang saya rasa adalah sesuatu yang amat merugikan diri saya sendiri seandainya tidak dikongsikan bersama-sama. Saya mula mengenal huruf dan membaca melalui komik, saya belajar menulis dan bercerita melalui komik. Obsesi saya pada komik sedikit-sebanyak banyak membentuk sahsiah dan peribadi saya pada hari ini. Dari sudut karakteristik, penampilan, intelek, falsafah malah hingga ke penstrukturan ekonomi dan perniagaan sekalipun; saya terpengaruh kuat dengan rujukan komik.

Pengalaman saya sepanjang-panjang bergiat dalam dunia komik telah membuka keluasan mata minda saya. Sebelum menjadi seorang profesional, saya memang seorang pembaca dan pengumpul komik yang tegar. Ini sudah muncul lama dahulu sebelum wujudnya zaman Facebook, blog, YouTube, Google malah internet sekalipun. Malah sehingga sekarang, saya masih tetap membaca komik dengan keras dan mengumpul dengan deras. Secara tidak langsung, sudah jelas saya tidak mahu pandang ke belakang lagi: Saya mahu jadi seorang penggiat komik yang serius.

Apabila kita sungguh-sungguh dan percaya pada iltizam kita, nescaya bukan rahsia lagi ia akan menjadi realiti. Sudah banyak bukti yang kita lihat. Takdir ketentuan itu telah saya ketemukan apabila ditawarkan untuk menjadi seorang Kadet Wartawan  Muda di sebuah syarikat penerbitan majalah No.1 di negara ini. Pada waktu itu, saya berasa amat bertuah kerana diberikan mandat untuk menjadi kemudi awal menggerakkan sebuah gagasan yang baru di bina di syarikat itu iaitu Jabatan Komik. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, bagaikan mahu betis paha diberi; karier saya sebagai seorang perkarya komik profesional bermula dari situ. Dengan pertemuan bersama idola-idola dan ikon-ikon arena komik tanahair yang pernah menjadi pujaan saya ketika zaman persekolahan dahulu, kini saya bekerja sebumbung sehaluan dalam lapanga yang sama.

Siapa kata mimpi tidak jadi kenyataan?  

Selang setahun dua selepas itu, saya memanjangkan langkah lagi. Kali ini saya ke sebuah studio penerbitan komik yang betul-betul fokus pada penerbitan komik semata. Saya berkhidmat sebagai penulis/editor komik. Seronoknya bukan kepalang kerana saya rasakan pada waktu itu (2007), studio tempat saya berkarya itu berjaya menghimpun antara bakat-bakat pengkarya komik muda terbaik dan berpotensi besar untuk pergi jauh dan berpotensi besar.

Kemudian selepas berkhidmat dua tahun dalam bidang penyiaran, saya kembali ke dunia penerbitan buku pula. Unit di bawah seliaan saya menerbitkan buku-buku untuk bacaan lelaki seperti buku fiksyen sains, ‘adventure’, perisikan, komedi dan sebagainya. Ini tidak lari jauh daripada dunia komik juga kerana tema serta konsepsual adalah sama. Penuh warna-warni, sarat dengan elemen penceritaan dan penglipur-laraan yang dinamik, padat unsur yang membuatkan sesiapa saja mahu melekat padanya hingga ke muka surat akhir.

Hari ini, saya mahu ceritakan itu semua dan banyak lagi tentang apa yang saya tahu, apa yang saya fikir dan apa yang saya alami dalam dunia komik

Anda dan anda adalah manusia yang terpilih untuk terus bersama saya dalam kembara ini.

Saya akan bercerita tentang falsafah, ideologi, doktrin dan enigma dunia komik.

Saya akan berkongsi pengalaman, pengetahuan dan isi kandungan dunia komik.

Saya akan berada dalam keadaan yang sejujurnya dan sebenarnya apabila meluahkan dan mengekspresikan zahir dan abtin saya dalam dunia komik.

Selamat datang semua.

Selamat membaca semua.

Bermula hari ini, saya akan ceritakan segala-galanya.


FM

SELAMAT DATANG KE KEDAI KOMIK ONLINE YANG TERBARU - - - LEBIH BESAR, LEBIH HEBAT DAN LEBIH MENARIK!


Semenjak dibuka dan dilancarkan secara rasmi melalui ruangan online pada tahun 2009, KEDAI KOMIK ONLINE telah membuka lembaran baharu dalam urusan jual-beli komik di seluruh tanahair terutama sekali di Lembah Klang. Bermula dari situ, kami telah menyediakan variasi judul dan koleksi komik-komik antarabangsa seperti Marvel, DC dan bermacam-macam lagi himpunan tajuk dari seluruh pelusuk penerbitan komik arus perdana dan independen. Dari Superman ke Batman, dari Spider-Man ke X-Men, hampir kesemua barisan komik-komik popular itu ada dalam barisan koleksi yang sedia ada dan juga yang akan datang.

" Hari ini buat pertama kali dalam sejarah penubuhannya setelah hampir tiga tahun beroperasi memenuhi dan menyempurnakan diri kolektor-kolektor dan peminat-peminat komik, premis online komik internasional berbahasa Malaysia yang pertama seumpamanya kini telah membuka cawangan sulungnya secara 'offline' di bawah label terkemuka iaitu CREFIGZ COLLECTIBLES @ The First Subang Mall! "

Ada yang sedia maklum, CREFIGZ COLLECTIBLES merupakan salah satu daripada francais koleksi toys dan action figure tersohor di negara ini selepas membuka kedai pertamanya di Pulau Pinang pada tahun yang sama sepertimana KEDAI KOMIK ONLINE. Mereka memiliki koleksi toys yang terbaru dan menjadi kegilaan ramai seperti Hot Toys, Bandai, ThreeA, Transformes dan banyak lagi. Atas kerjasama dan obsesi pada dunia komik dan toys, maka termuncul sebuah premis sehenti (one-stop shop) untuk kedua-dua penggemar dan peminat tersebut membuat belian serta pilihan.

Kini dari online ke premis sebenar yang nyata, KEDAI KOMIK ONLINE dengan kerjasama CREFIGZ COLLECTIBLES amat komited dalam memberikan servis sempurna serta tawaran harga hebat demi kepuasan mengumpul dan pengumpul yang sejati!

Malah, kami sekarang bukan sahaja menjual koleksi komik dan toys sahaja kerana KEDAI KOMIK ONLINE juga bakal menjual t-shirt, khidmat karikaturis dari artis-artis Manteraworks secara EXCLUSIVE. Teristimewa dan khas hanya untuk anda pelanggan kami yang budiman


Ikuti kami di Facebook untuk makluman dan pengumuman-pengumuman yang terkini

[ peta lokasi ke premis KEDAI KOMIK ONLINE via CREFIGZ COLLECTIBLES ]


KEDAI KOMIK ONLINE via Crefigz Collectibles
1-18 First Subang Mall
Jalan SS15/4G, 47500 Subang Jaya.
Selangor, MALAYSIA

Waktu Operasi | 11.00 pagi hingga 9.00 malam

No. Tel | 03-56313414
Faizal Mukhtar 012 2038 478
Jensen CREFIGZ 016 4171 877
Andrew CREFIGZ 016 4134 155