Bercerita
tentang dunia komik serta segala isi dan kandungan yang ada terwujud di
dalamnya, pasti akan sentiasa membuatkan saya rasa teruja. Komik merupakan satu
wadah dan wahana besar yang merangkumi banyak aspek dalam hidup kita. Baik dari
segi sahsiah, falsafah, fahaman, sejarah, akademik, politik dan sebagainya.
Dari mula
saya mengenal huruf sehinggalah ke peringkat saya tahu bagaimana untuk membaca,
komik telah membuka banyak lembaran-lembaran baru serba luarbiasa.
Masih ingat
lagi pada suatu ketika dahulu, semasa ibu dan bapa saya membawa saya ke sebuah
pusat membeli-belah di Kuala Lumpur pada pertengahan 80an. Waktu hujung minggu pada
lazimnya, bapa akan membawa berjalan-jalan sekitar lokasi-lokasi pilihan di
Kuala Lumpur. Meneruskan cerita, orang tua saya telah membawa saya dan
adik-adik saya masuk ke dalam sebuah kedai buku. Seperti mana ibu dan bapa
lain, sudah pasti mereka mahu mencarikan saya buku-buku untuk dijadikan bahan
bacaan berguna di rumah. Umur saya pada waktu itu hanyalah 6 tahun. Namun,
dalam banyak-banyak buku yang terdapat di dalam kedai buku tersebut, mata saya
tertumpu pada satu dan hanya pada satu sudut sahaja: Tidak lain dan tidak
bukan, sudut komik.
Saya
seolah-olah telah di bawa ke suatu alam yang serba baru kerana pada ketika itulah
pengalaman pertama saya yang masih segar hingga sekarang berhadapan dengan
komik berjenama Marvel.
Karakter
yang terpampang di dada kulit komik itu adalah seorang superhero yang
mengenakan kostum berjalur labah-labah, sedang bergayut di atas bangunan sambil
mengejar dua orang yang saya sangat pasti merupakan perompak bank (berdasarkan
kantung wang dan topeng yang dipakai).
Cukup terkesima
dan sangat teruja, saya mahu memiliki buku berwarna yang sangat hebat itu.
Ibu saya
sudah siap-siap dengan buku-buku di tangan untuk saya pilih dan baca kelak di
rumah. saya tidak ada minat lagi untuk memiliki apa-apa buku lain selain dari
buku berwarna yang sangat hebat itu.
“Spider-Man?”
Ibu
bertanya.
“Nak
Spider-Man, boleh ma …?”
Ibu saya
diam sejenak. Tidak sampai seminit ibu meluluskan permohonan saya untuk
memiliki komik pertama saya semasa berusia 6 tahun yang berjudul Spider-Man
dengan syarat saya tetap mahukan buku yang disyorkan dan membacanya di rumah.
Saya sangat
seronok kerana dapat membaca komik. Sebelum itu, saya tidak pernah ada
pendedahan langsung tentang komik kecuali kartun-kartun animasi yang saya
tonton di kaca televisyen. Apabila lukisan seumpama kartun dibukukan dan boleh
saya lihat lebih jelas di hadapan mata saya dan boleh saya belek dan baca
berulang-ulang kali tanpa jemu.
Saya kenal
Superman, saya kenal Batman, saya kenal Ultraman dan banyak lagi superhero-superhero
yang pernah muncul di kaca televisyen. Tetapi saya tidak pernah kenal dan tidak
pernah tahu Spider-Man. Tambah-tambah lagi apabila pertemuan pertama saya
dengan Spider-Man juga merupakan pengenalan saya pada buku berformat komik.