Saya ada satu sifat yang dirasakan begitu sinonim dengan diri saya dalam apa jua perkara yang saya lakukan. Tidak kira ketika saya sedang makan, ketika saya sedang menonton filem di pawagam, sedang membaca komik atau sedang melakukan apa-apa saja termasuklah ketika sedang tidur. Saya akui sifat ini adalah sifat kekal saya yang kerap muncul sama ada sengaja ataupun tidak sengaja. Saya juga yakin dan percaya sifat ini ada pada semua orang yang sedang membaca tulisan saya ini.
Satu perkataan.
Tujuh huruf:
"Cerewet"
Oh. Maafkan
saya. Bukan itu.
Dua
perkataan. 13 huruf.
"Sangat
cerewet"
Dan oleh
kerana sifat yang satu inilah, saya sangat mengambil masa dan kesesuaian yang
cukup baik untuk saya memulakan ruangan untuk menulis tentang perkara yang saya
dan anda semua suka iaitu KOMIK.
Sepanjang
saya berkelana selama mana tentang dunia komik itu sendiri, saya telah
mengumpul banyak pengalaman yang saya rasa adalah sesuatu yang amat merugikan
diri saya sendiri seandainya tidak dikongsikan bersama-sama. Saya mula mengenal
huruf dan membaca melalui komik, saya belajar menulis dan bercerita melalui
komik. Obsesi saya pada komik sedikit-sebanyak banyak membentuk sahsiah dan
peribadi saya pada hari ini. Dari sudut karakteristik, penampilan, intelek,
falsafah malah hingga ke penstrukturan ekonomi dan perniagaan sekalipun; saya
terpengaruh kuat dengan rujukan komik.
Pengalaman saya
sepanjang-panjang bergiat dalam dunia komik telah membuka keluasan mata minda
saya. Sebelum menjadi seorang profesional, saya memang seorang pembaca dan
pengumpul komik yang tegar. Ini sudah muncul lama dahulu sebelum wujudnya zaman
Facebook, blog, YouTube, Google malah internet sekalipun. Malah sehingga
sekarang, saya masih tetap membaca komik dengan keras dan mengumpul dengan
deras. Secara tidak langsung, sudah jelas saya tidak mahu pandang ke belakang
lagi: Saya mahu jadi seorang penggiat komik yang serius.
Apabila kita
sungguh-sungguh dan percaya pada iltizam kita, nescaya bukan rahsia lagi ia
akan menjadi realiti. Sudah banyak bukti yang kita lihat. Takdir ketentuan itu
telah saya ketemukan apabila ditawarkan untuk menjadi seorang Kadet
Wartawan Muda di sebuah syarikat
penerbitan majalah No.1 di negara ini. Pada waktu itu, saya berasa amat bertuah
kerana diberikan mandat untuk menjadi kemudi awal menggerakkan sebuah gagasan
yang baru di bina di syarikat itu iaitu Jabatan Komik. Bagaikan orang mengantuk
disorongkan bantal, bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, bagaikan mahu betis
paha diberi; karier saya sebagai seorang perkarya komik profesional bermula
dari situ. Dengan pertemuan bersama idola-idola dan ikon-ikon arena komik
tanahair yang pernah menjadi pujaan saya ketika zaman persekolahan dahulu, kini
saya bekerja sebumbung sehaluan dalam lapanga yang sama.
Siapa kata
mimpi tidak jadi kenyataan?
Selang
setahun dua selepas itu, saya memanjangkan langkah lagi. Kali ini saya ke
sebuah studio penerbitan komik yang betul-betul fokus pada penerbitan komik
semata. Saya berkhidmat sebagai penulis/editor komik. Seronoknya bukan kepalang
kerana saya rasakan pada waktu itu (2007), studio tempat saya berkarya itu
berjaya menghimpun antara bakat-bakat pengkarya komik muda terbaik dan
berpotensi besar untuk pergi jauh dan berpotensi besar.
Kemudian selepas
berkhidmat dua tahun dalam bidang penyiaran, saya kembali ke dunia penerbitan
buku pula. Unit di bawah seliaan saya menerbitkan buku-buku untuk bacaan lelaki
seperti buku fiksyen sains, ‘adventure’, perisikan, komedi dan sebagainya. Ini tidak
lari jauh daripada dunia komik juga kerana tema serta konsepsual adalah sama. Penuh
warna-warni, sarat dengan elemen penceritaan dan penglipur-laraan yang dinamik,
padat unsur yang membuatkan sesiapa saja mahu melekat padanya hingga ke muka
surat akhir.
Hari ini,
saya mahu ceritakan itu semua dan banyak lagi tentang apa yang saya tahu, apa
yang saya fikir dan apa yang saya alami dalam dunia komik
Anda dan
anda adalah manusia yang terpilih untuk terus bersama saya dalam kembara ini.
Saya akan
bercerita tentang falsafah, ideologi, doktrin dan enigma dunia komik.
Saya akan
berkongsi pengalaman, pengetahuan dan isi kandungan dunia komik.
Saya akan
berada dalam keadaan yang sejujurnya dan sebenarnya apabila meluahkan dan
mengekspresikan zahir dan abtin saya dalam dunia komik.
Selamat
datang semua.
Selamat membaca
semua.
Bermula hari
ini, saya akan ceritakan segala-galanya.
FM