![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiTVpgwDKqhVhHVGtfJx5AveNG-SBLHB3NE9Qqk66iWCMgy9pPFNte2I_wo8503Mki04qqcqAYulKRxRLl2tsSFs-gkPtVOfOpUxQ99PNwedlk0vBf_nejIJ_ScQrzpzeYb5DhiD_s431g/s400/marvelphasetwolarge3.jpg) |
Nota: Harap maklum. Review ini mempunyai kenyataan dan butir-butir filem yang diklasifikasikan sebagai
SPOILER MATERIAL |
Ramai yang
sudah sedia maklum (dan juga menjangka) bahawa filem ‘Iron Man 3’ telah meledakkan
rekod-rekod box-office seluruh dunia dengan begitu cergasnya setakat hari ini
(USD$195.3 juta untuk 42 negara, USD$10 juta lebih banyak dari hari pembukaan ‘The Avengers’
pada tahun lalu dengan USD$185.1 – termasuk rekod box office pembukaan hari
pertama untuk Filipina, Singapura, Taiwan, Vietnam dan negara kita Malaysia). Untuk
makluman juga, tarikh tayangan rasmi untuk Amerika Syarikat, Kanada, China,
Jerman, Russia dan majoriti negara-negara lain di serata dunia adalah hanya
pada 3 Mei ini.
Sejak tiga
hari lalu, ramai sudah menjadi antara penonton awal lagi bertuah yang dapat
menyaksikannya terdahulu dari yang lain pada tengah malam hari pertama. Jika tidak pun, majoriti pembaca dan
pengikut KEDAIKOMIKONLINE pasti telah menonton pada hujung minggu lalu. Untuk itu sepertimana yang dijanjikan, berikut
adalah review untuk filem ‘Iron Man 3’:
1 | SUMBER
RUJUKAN
Filem ini
mendapat sumber rujukan cerita dari empat
buah siri komik: ‘Extremis’ (Iron Man #1-4, Jilid 4 2004), ‘Haunted’ (Iron Man #21-26,
Jilid 4 2008), ‘The Mask in the Iron Man’ (Invincible Iron Man #26-30, Jilid 3 2001),
‘World’s Most Wanted’ (Invincible Iron Man #8-19, Jilid 1 2009). Dan juga
sedikit inspirasi untuk baju-baju perisai baru bagi Mark 8 sehingga Mark 42
dari beberapa komik, video game dan idea-idea asal yang lain. Apabila diadun
semula oleh penulisnya Drew Pearce dan pengarahnya Shane Black, maka
terhasillah Iron Man 3.
2 |
KRONOLOGI
Filem ini
merupakan filem ke-7 dalam Marvel Cinematic Universe sejak 'Iron Man' (2008) dan
permulaan bagi Fasa 2 selepas 'The Avengers' (2012) menamatkan Fasa 1. Ia tidak dirancang
sebagai sebuah trilogi kerana semua filem-filem di bawah Marvel/Walt Disney
Studios akan disusun perjalanan
ceritanya back-to-back sebagai sebuah shared universe yang mempunyai jalan
cerita yang bermula dengan Iron Man yang pertama dan terus bersambung seperti
berikut:
FASA 1
1. Iron Man
(2008)
2. The
Incredible Hulk (2008)
3. Iron Man 2
(2010)
4. Thor
(2011)
5. Captain
America: The First Avenger (2011)
6. The Avengers (2012)
FASA 2
1. Iron Man 3
(2013)
2. Thor: The
Dark World (2013)
3. Captain
America: The Winter Soldier (2014)
4. Guardians
of the Galaxy (2014)
5. The Avengers
2 (2015)
FASA 3
1. Ant-Man
(2015)
3 | ARAHAN
& HALATUJU
Untuk filem
ini, Marvel telah menggantikan pengarah asal untuk ‘Iron Man’ dan ‘Iron man 2’
iaitu Jon Favreau kepada Shane Black. Beliau adalah penulis skrip yang popular
dengan filem-filem aksi era lewat 80an dan awal 90an seperti Lethal Weapon,
Lethal Weapon 2, Last Action Hero dan banyak lagi. ‘Iron Man 3’ merupakan
kredit pengarahan keduanya selepas filem ‘Kiss Kiss Bang Bang’, juga dibintangi
Robert Downey Jr. Manakala, Jon Favreau hanya bertindak sebagah penerbit
eksekutif dan masih memegang watak sebagai Happy Hogan, pemandu dan pengawal
peribadi Tony Stark.
Jika ada
yang memberi tumpuan pada corak jalan cerita, pergerakan kamera dan syot, gubahan
skor muzik serta kesan khas dan suntingan (terutama sekali montaj pasca kredit
yang punya pendekatan retro), Shane Black membawa kelainan yang ternyata
berbeza. Terutamanya dinamik dari segi perkembangan karakter dan konflik
permasalahan. Ada dilema cinta, krisis sejarah lampau, satira politik dunia, kesilapan
yang tidak disengajakan atau disengajakan dan banyak lagi. Ada yang melabel ini
sebagai sesuatu yang baru lebih ‘fresh’ dalam evolusi filem-filem Marvel
ataupun sesuatu yang terlampau radikal sehingga menyebabkan rasa yang kurang
selesa.
4 | SELAMAT TINGGAL ROBERT DOWNEY JR. ?
Berdasarkan
kontrak filem yang dipersetujui, inilah filem terakhir di bawah kontrak watak
Tony Stark/Iron Man yang di telah bawa oleh Robert Downey Jr. Semuanya ada 5
filem (‘Iron Man’, ‘Iron Man 2’, ‘Avengers’, ‘Iron Man 3’). Ini turut dialami
oleh beberapa watak utama lain seperti Pepper Pots (Gwyneth Paltrow) dan
Colonel James Rhodes (Don Cheadle). Perbincangan masih berlangsung untuk
mengekalkan pelakon yang sama untuk watak yang sama, namun macam-macam berlaku
dalam masa terdekat ini berdasarkan persembahan box-office sepanjang tayangan ‘Iron
Man 3’, jadual waktu para pelakon dan keperluan filem Iron Man di masa-masa
akan datang.
Namun
seandainya ada yang menunggu sehingga penghujung kredit dan babak bonus tamat
kredit, jelas tertera ayat: ‘Tony Stark will return’. Beliau akan kembali, sama
ada Robert Downey Jr. atau kita akan dapat lihat Tony Stark/Iron Man, hanya
waktu yang akan menentukan segala.
5 |
KRITIKAN, KOMPLEN & KOMENTAR
Pengolahan watak The Mandarin
Untuk penonton kebanyakan yang hanya mengetahui latar
belakang dan sejarah Iron Man melalui filem-filemnya sejak 2008, mereka pasti
tidak mempunyai sebarang masalah besar atau tekanan dengan watak baru
terutamanya Mandarin.
Sekiranya Superman ada Lex Luthor, Batman ada Joker.
Sekiranya Autobot ada Decepticon, G.I Joe ada Cobra. Sama seperti Real Madrid
ada Barcelona dan Barisan Nasional ada Pakatan Rakyat untuk mereka jadika
seteru dan selingkuh abadi sesama sendiri sehingga hujung nyawa.
Untuk pembaca komik dan peminat tegar Iron Man, pasti sudah
tahu siapakah dan apakah dia peranan utama Mandarin selaku musuh terutama
beliau sejak kemunculan pertamanya dalam ‘Tales of Suspense’ isu #50 (1964).
Kuasa yang ada pada Mandarin jauh lebih hebat dari Lex Luthor, Joker, Megatron
dan Cobra Commander. Sebagai seorang saintis genius, beliau memiliki hampir
semua ilmu mempertahankan diri yang pernah dan akan wujud di dunia, termasuk lebih
gah selaku pemilik Ten Rings yang berasal dari Makluan Axonn-Karr yang penuh
magis dan mistik. Jelasnya di sini, Mandarin bukan calang-calang supervillain
dengan punca kuasa yang luarbiasa dan hampir tidak terkalahkan. Namun, apa yang
dilihat dalam Iron Man 3 adalah satu bentuk penyelewengan yang besar dan
menjahanamkan ciri-ciri karakter beliau yang hebat itu.
Mandarin hanya didedahkan sebagai imejan watak seorang
pelakon picisan yang kaki botol dan tahi dadah?
Saya percaya Marvel Creative Committee yang dianggotai oleh
nama-nama besar dalam Marvel Comics seperti CCO Joe Queada, Brian Michael Bendis,
Alan Fine, Dan Buckley dan ramai lagi tidak akan bertindak sewenang-wenangnya
untuk meluluskan skrip filem seperti yang diterjemahkan dalam Iron Man 3 ini.
Saya percaya pasti ada muslihat dan agenda tersembunyi untuk filem-filem Iron
Man akan datang ataupun setidak-tidaknya dalam filem-filem Marvel akan datang.
Memperlakukan watak yang bagus seperti Mandarin dalam filem ini
adalah ibarat melihat sekuel remake kepada filem Nujum Pak Belalang bajet rendah
sahaja.
‘Suspension of disbelief’
Setiap superhero yang hebat tidak perlu sempurna. Selagi
ada kelemahan dan kekurangan, pasti akan terbit kekuatan-kekuatan luarbiasa
yang lebih meyakinkan adiwira tersebut untuk terus menegakkan keadilan dan
kebenaran dan menumbangkan kejahatan dan kedurjanaan.
Namun ada sesetengah plot dan babak dalam filem ini
menunjukkan Tony Stark/Iron Man terlalu sempurna dan sifar kesilapan. Babak rumah
Tony Stark diserang, babak Air Force One meletup, babak kemunculan kesemua
perisai-perisai Iron Man dari Mark 8 hingga ke Mark 42 dan pertempuran ‘House
Party Protocol’ lawan askar-askar ekstremis adalah bagus dan mantap tetapi mendekati
Kollywood (filem-filem Tamil) dari Hollywood.
Ini nanti akan mendatangkan rasa jelak kepada penonton
apabila mereka sedar Marvel sudah berniat untuk kembali ke zaman 90an yang mana
kebanyakan filem-filem aksinya adalah jenis ‘tangkap muat’.
Terlalu banyak watak baru, terlalu terhad masa
Masalah ini dihadapi untuk filem ‘Spider-Man 3’, ‘Green
Lantern’ dan ‘Transformers: Revenge of the Fallen’. Penonton tidak sempat
berkenalan dan meneroka watak-watak baru dengan baik. Tidak perlu secara total,
hanya secara baik.
Siapakah Aldrich Killian di sebalik idelogi Advanced Idea
Mechanics? Kenapa Dr. Maya Hansen boleh datang balik dalam hidup Tony Stark dan
insaf dengan secara tiba-tiba? Mengapa Kolonel James Rhodes/Iron Patriot tidak
lagi di bernaung di bawah Tentera Udara Amerika Syarikat dan kali ini bekerja
sebagai unit khas Presiden?
Dengan filem di bawah durasi 3 jam, ini merupakan masalah
yang tidak sepatutnya berlaku untuk filem sebesar dan sepopular Iron Man 3.
Babak aksi yang terlalu ‘sibuk’, ‘tergesa’ dan ‘mengelirukan’
Tidak sah sesebuah filem superhero atau adaptasi komik
tanpa ada babak-babak aksi yang mendebarkan dan mengujakan. Namun babak aksi
yang tidak kena pada masa dan slotnya termasuk yang tidak perlu akan
mendatangkan kesan yang merimaskan. Terutama sekali apabila penonton
menanti-nanti babak yang sedemikian.
Sebagai contoh, babak akhir Iron Man 3 yang sungguh
klimatik tapi tidak cukup memuaskan nafsu penonton.
Dengan 35 baju perisai Iron Man muncul dan kesemuanya
baru-baru belaka dan masih dalam peringkat pengenalan, adakah kita semua puas
melihat satu persatu dengan babak kemunculan di bawah 20 minit? Saya rasa
jawapan tidak.
Babak bonus tamat kredit
Sejak Iron Man (2008) sehinggalah Avengers (2012), semua
babak bonus tamat kredit adalah menarik. Setidak-tidaknya ia seronok untuk ditunggu
selepas selesai kredit dilem untuk pengalaman tontonan tambahan. Untuk Iron Man
3, babak bonus tamat kredit tidak mencapai tahap yang biasanya dilakukan tanpa tiada langsung unsur kejutan.
Apa
sudah jadi?
6 | REKOMENDASI & CADANGAN
Kami selaku
penonton dan peminat teramat sedar betapa sukar dan mencabarnya memenuhi hasrat
serta harapan menggunung bagi memastikan permulaan FASA 2 Marvel Cinematic
Universe ini berlangsung dengan lancar.
Apa yang
dilihat ini bukanlah sesuatu yang dilabel sebagai ‘tidak boleh dimaafkan’ atau ‘teruk’.
Tetapi keadaan boleh menjadi lebih elok sekiranya Disney/Marvel Studios
perbanyakkan lagi rujukan dan kajian bagaimana filem-filem terdahulu pernah
melakukan pendekatan yang sama namun gagal. FASA 1 saya berikan markah yang
cukup tinggi kerana berjaya mengubah lanskap filem adaptasi komik dan superhero
ke aras yang dianggap hampir mustahil.
Sekiranya Marvel
boleh tahu apa yang sudah berlaku sekarang, di harap post-mortem produksi dan
studionya nanti akan baca review saya ini dan ambil nota untuk perbaiki diri. Saya
sepertimana anda semua, mahu kualiti diutamakan dan kuantiti disusulkan.
7 | KESIMPULAN
Disney/Marvel Studios harus fikir panjang untuk menyambung kontrak Shane Black (mujur beliau hanya menandatangani kontrak hanya untuk satu filem). Ataupun setidak-tidaknya lebih berhati-hati dan menyeluruh dalam memilih pengarah dan penulis skrip. Filem yang seterusnya adalah Thor: The Dark World, diarahkan oleh Alan Taylor yang terbukti sukses di televisyen melalui siri 'Game of Thrones'. Mari kita harapkan mojo beliau berterusan untuk filemnya kelak untuk sekuel Thor tersebut.